Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Polis tahan enam lelaki disyaki merusuh guna senjata di kelab malam

Bernama 18/08/2025 | 14:04 MYT
ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata penahanan itu dibuat susulan laporan yang diterima daripada seorang lelaki berusia 29 tahun pada 9.33 pagi semalam. - Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menahan enam lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki lain di sebuah kelab malam di ibu negara, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata penahanan itu dibuat susulan laporan yang diterima daripada seorang lelaki berusia 29 tahun pada 9.33 pagi semalam.

Beliau berkata lelaki itu mendakwa telah dipukul oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali ketika berjalan keluar dari sebuah kelab malam sehingga mengalami kecederaan di belakang badan.

"Bertindak atas maklumat, enam suspek berumur 25 hingga 29 tahun yang terlibat dalam kes terbabit ditahan dan kesemua mereka direman empat hari hingga 21 Ogos ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-2297 9222 atau balai polis berdekatan.

-- BERNAMA

#polis #merusuh dengan senjata #kecederaan #kelab malam