[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
MALAYSIA

Polis tahan lapan individu berhubung kes merusuh bersenjata di Johor

Bernama 22/12/2025 | 13:45 MYT
Raub berkata punca kejadian dipercayai berpunca daripada masalah peribadi dan perasaan cemburu. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes merusuh menggunakan senjata di sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya, Masai, di sini, Sabtu lepas.


Ringkasan AI
  • Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berhubung kes merusuh di restoran di Bandar Baru Permas Jaya, Sabtu lalu, yang disebabkan oleh masalah peribadi dan cemburu.
  • Kejadian melibatkan serangan 20 orang terhadap dua mangsa dengan menggunakan kerusi plastik dan botol kaca, menyebabkan seorang mangsa cedera di muka dan badan.
  • Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 46 tahun, dengan salah seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau; polis merampas tujuh telefon bimbit untuk siasatan.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kejadian itu berlaku pada 11.05 malam di sebuah restoran makanan Cina di kawasan berkenaan.

Raub berkata punca kejadian dipercayai berpunca daripada masalah peribadi dan perasaan cemburu.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sekumpulan lelaki dianggarkan 20 orang menyerang dua mangsa menggunakan kerusi plastik dan botol kaca, menyebabkan seorang mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan.

"Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 46 tahun dan seorang daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit bagi tujuan siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.

Raub berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua suspek dibenarkan direman tiga hari hingga 24 Dis bagi membantu siasatan lanjut.

"Polis masih giat mengesan suspek lain yang terlibat dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta sentiasa mematuhi undang-undang," katanya.

Terdahulu, tular di laman Facebook sebuah video berdurasi satu minit 29 saat yang memaparkan insiden pukul dan merusuh melibatkan sekumpulan lelaki berpakaian hitam bertindak memukul dua lelaki yang sedang makan menggunakan objek seperti kerusi sebelum dileraikan oleh orang awam.

--BERNAMA






#Facebook #rekod jenayah lampau #ujian saringan #orang awam