Polis menahan seorang lelaki Indonesia bersama dadah jenis syabu di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Lormalong dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Baharin Md Tahir berkata suspek berusia 37 tahun itu ditahan pada 11.30 pagi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dalam serbuan Ops Sarang.

"Polis menemukan satu paket plastik lutsinar bersaiz sederhana besar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.2 gram (RM780), disembunyikan dalam lipatan kain yang diletakkan di dalam beg silang dipakai suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Baharin, suspek yang sudah berkahwin dan bekerja sebagai buruh itu turut didapati positif methampetamine hasil daripada ujian saringan awal air kencing.

Baharin berkata suspek dan barang salah itu dibawa ke IPD Kunak untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam kes berlainan, katanya sebuah kereta perisai beroda milik Angkatan Tentera Malaysia yang terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter, di Kilometer 19 Jalan Kunak-Lahad Datu pada Isnin lalu, berjaya ditarik keluar hari ini.

Katanya, kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Siasatan awal mendapati kenderaan itu berkonvoi bersama lapan kenderaan perisai lain, yang dalam perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu untuk menghadiri Latihan Road Running.

-- BERNAMA