Polis tahan lelaki bantu siasatan kes perbuatan khianat di Ipoh

Bernama
Februari 5, 2022 20:09 MYT
Polis turut menerima laporan yang menyatakan suspek telah dipukul orang ramai di tempat kejadian semasa insiden itu. - Gambar hiasan BERNAMA
IPOH: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung rakaman klip video mengenai perbuatan khianat dan mendatangkan kecederaan di sebuah premis makanan di sini yang tular di media sosial sejak Jumaat.
"Siasatan pihak polis terhadap video itu telah menghasilkan tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an, iaitu individu yang dipercayai bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut," kata Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya suspek direman selama empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 427 akta sama kerana melakukan khianat.
Yahaya berkata pihaknya turut menerima laporan polis daripada waris suspek yang menyatakan suspek telah dipukul orang ramai di tempat kejadian semasa insiden itu.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak melangkaui atau meletakkan undang-undang di tangan sendiri dalam apa jua keadaan dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tersebut yang boleh menjejaskan siasatan polis," katanya dan menambah pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut merangkumi semua aspek mengenai kejadian itu.
-- BERNAMA
#polis tahan suspek #kes khianat #premis makanan di Ipoh #klip video tular