SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah di sini, dipercayai berlaku baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu dan suspek telah ditahan selepas mendapat maklumat daripada orang awam berhubung insiden berkenaan.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati terdapat sekumpulan lelaki bergaduh hingga berlaku tetak-menetak antara mereka.
“Selain itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna biru telah melanggar seorang daripada individu dipercayai suspek hingga menyebabkan kematian di tempat kejadian,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman satu video berdurasi satu minit bertarikh 23 Ogos 2026 yang memapar sekumpulan individu sedang bergaduh atas jalan raya hingga ada antaranya dilanggar sebuah kenderaan.
Beliau berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-8308706 atau ke mana-mana balai polis berdekatan.
Di samping itu, beliau meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan.
-- BERNAMA