[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

Polis tahan lelaki buat kacau ganggu di Brinchang

Bernama 30/05/2025 | 12:00 MYT
Polis telah menahan seorang lelaki yang membuat kacau ganggu di kawasan Centrum, Brinchang, Cameron Highlands pada 28 Mei (Rabu) lepas. - Foto hiasan
KUANTAN: Polis telah menahan seorang lelaki yang membuat kacau ganggu di kawasan Centrum, Brinchang, Cameron Highlands pada 28 Mei (Rabu) lepas.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintenden Azri Ramli berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian terbabit pada kira-kira 11 malam.

"Setibanya di lokasi, anggota polis mendapati seorang lelaki berbangsa Cina bertindak secara agresif. Usaha untuk menenangkannya tidak berjaya kerana individu berkenaan enggan memberikan kerjasama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum kepada lelaki berusia 42 tahun itu yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan awam dan anggota terjamin.

Azri berkata hasil semakan mendapati lelaki terbabit dilaporkan sebagai orang hilang di daerah Bera sejak 22 Mei lepas dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

"Selepas berhubung dengan pihak keluarganya, polis telah membawa beliau ke hospital untuk mendapatkan rawatan...lelaki tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak keluarga dan telah dibawa pulang ke Bera," katanya.

Sementara itu, Azri berkata pihaknya sedang mengesan seorang individu yang dipercayai menumbuk lelaki berkenaan dalam satu video tular.

Individu terbabit digesa supaya tampil ke hadapan bagi membantu siasatan, katanya.

-- BERNAMA



#Polis Daerah Cameron Highlands #Tahan #lelaki buat kacau #Brinchang