MALAYSIA

Polis tahan lelaki ceroboh tiga rumah di Muar

Bernama 09/02/2026 | 14:00 MYT
Suspek ditahan polis selepas menceroboh tiga buah rumah di Taman Pagoh Jaya, Pagoh pada Ahad. - Gambar Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam tiga kes ceroboh rumah, mendatangkan kecederaan serta khianat harta benda di Jalan 3/4, Taman Pagoh Jaya, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Aziz berkata pihaknya menerima beberapa laporan polis berkaitan kejadian ceroboh itu yang berlaku pada petang semalam melibatkan tiga buah rumah.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun yang merupakan penganggur dan bergerak bersendirian menaiki kenderaan dari Kuala Lumpur, disyaki menceroboh beberapa kediaman dengan cara memanjat pagar dan tembok, selain merosakkan tombol pintu gril sebuah rumah.

"Suspek juga dipercayai memukul seorang mangsa lelaki hingga menyebabkan kecederaan ringan di bahagian muka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek ditahan di tempat kejadian oleh anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Panchor dengan bantuan RCJ Balai Polis Pagoh hasil maklumat awam.

Raiz Mukhliz berkata suspek dibawa ke Hospital Muar bagi mendapatkan rawatan kerana disyaki berhalusinasi ketika tangkapan dibuat.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau dan pernah ditangkap sebelum ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 448, Seksyen 323, Seksyen 447 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, manakala siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 10 saat memaparkan lelaki dipercayai suspek dengan tangan bergari duduk di atas sebuah kenderaan, manakala gambar menunjukkan seorang lelaki dipercayai mangsa dengan muka berdarah, tersebar di laman Facebook.

--BERNAMA






#ceroboh rumah #Johor Bahru #Taman Pagoh Jaya #polis tahan