Skip to main content

Malaysia

Polis tahan lelaki disyaki terlibat kes seluk saku tular di media sosial

Sumber: BERNAMA
Suspek berumur lingkungan 30-an dan mempunyai 13 rekod kesalahan lampau, iaitu satu kes jenayah dan 12 kes berkaitan dadah. - Gambar hiasan/Bernama
Advertisement

MELAKA: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian seluk saku di Kampung Morten yang tular menerusi media sosial Threads, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 2.06 pagi hari ini daripada mangsa, iaitu seorang wanita tempatan berumur lingkungan 20-an selepas dikesan pihaknya menerusi media sosial berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu mendapat perhatian, selepas satu hantaran berkaitan dikongsikan di media sosial.

“Berdasarkan rakaman video yang tular, seorang lelaki dipercayai mengambil telefon bimbit milik seorang wanita secara pickpocket sebelum berpura-pura membantu mencari telefon berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Halim berkata selepas telefon tersebut ditemukan, lelaki berkenaan dipercayai meminta wang RM200 sebagai “duit kopi” sebelum meninggalkan lokasi.

Beliau berkata hantaran itu kemudiannya tular di media sosial Threads dan menerima kira-kira 1,800 tanda suka, 181 komen, 916 perkongsian semula dan 1,400 perkongsian.

“Suspek berumur lingkungan 30-an dan mempunyai 13 rekod kesalahan lampau, iaitu satu kes jenayah dan 12 kes berkaitan dadah.

“Semakan lanjut mendapati suspek pernah beberapa kali ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah dan hasil ujian air kencing didapati positif,” katanya.

Halim berkata suspek direman tiga hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement