Polis tahan lelaki edar 388 karton rokok seludup di Batu Pahat

Bernama
Oktober 15, 2021 03:13 MYT
Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup di sekitar kawasan Parit Raja, Batu Pahat. -Gambar hiasan
BATU PAHAT: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup di sekitar kawasan Parit Raja, Batu Pahat dengan tertangkapnya seorang lelaki warga tempatan dan merampas 388 karton rokok tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM80,587.80 pada pukul 8 pagi, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Dimin Awang berkata turut dirampas daripada suspek berusia 59 tahun itu ialah kereta Proton Wira yang dipercayai digunakan bagi aktiviti mengedar rokok berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata antara jenis rokok yang dirampas ialah 100 karton rokok jenama JDB 20 batang; 38 karton U2 20 batang; 33 karton Canyon Menthol 20 batang; 17 karton John Kelabu 20 batang dan lapan karton John White 20 batang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki bertanggungjawab membekalkan rokok tidak bercukai di kedai-kedai runcit sekitar kawasan Parit Raja.
Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, katanya.
-- BERNAMA
#rokok seludup #sindiket pengedaran #rokok tidak bercukai #Canyon Menthol