KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mempunyai enam rekod pelbagai jenayah termasuk dadah ditahan kerana disyaki terlibat dalam tiga kes samun bersiri menggunakan kenderaan mewah di sekitar Selayang, di sini, pada Rabu dan Khamis lepas.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di sebuah rumah di Kajang pada kira-kira 12 tengah malam pada Sabtu, dan dengan penahanan itu polis percaya berjaya menyelesaikan enam kes samun di sekitar Gombak, Kajang dan Cheras.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata modus operandi suspek ialah bergerak berseorangan untuk melakukan samun terhadap mangsa di tepi jalan, premis kedai dan hotel dengan bersenjatakan sebilah pisau dan sebatang rotan, seterusnya melarikan diri dengan Toyota Vellfire.

Beliau berkata kes pada Rabu melibatkan seorang wanita berusia 25 tahun yang disamun di tepi jalan Selayang Capitol, di sini semasa berjalan seorang diri menyebabkan kerugian RM300 dan seorang lelaki yang bersendirian di tepi jalan Bandar Baru Selayang menyebabkan kerugian RM2,000.

Kes pada Khamis pula melibatkan kes samun seorang lelaki berusia 43 tahun di Jalan Selayang Point 1, di sini menyebabkan kerugian RM747, katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau 03-61262222.

-- BERNAMA