MALAYSIA
Polis tahan lelaki lakukan khianat langgar kereta warga emas
Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat kes khianat terhadap sebuah kereta dan memandu secara gopoh di Susur 6, Jalan Tun Razak, Johor Bahru, dua hari lepas. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat kes khianat terhadap sebuah kereta dan memandu secara gopoh di Susur 6, Jalan Tun Razak, di sini, dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara suspek berusia 50 tahun yang memandu Toyota Hilux dengan seorang lelaki memandu Perodua Axia berumur 63 tahun.
Beliau berkata, kejadian pada 3.10 petang itu berlaku apabila pemandu Perodua Axia memperlahankan kenderaan selepas terlepas simpang sebelum suspek yang dari arah belakang memotong secara agresif.
"Dipercayai telah berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua pihak sebelum suspek bertindak melanggar kereta mangsa sebanyak tiga kali hingga menyebabkan kerosakan bernilai RM15,300," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Raub berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA