MALAYSIA

Polis tahan lelaki warga China pasang Jalur Gemilang terbalik

Bernama 12/01/2026 | 14:38 MYT
Polis menahan seorang lelaki warga China yang dipercayai memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City, semalam. - Foto hiasan
KULAI: Polis menahan seorang lelaki warga China yang dipercayai memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City di sini, semalam.


Ringkasan AI
  • Polis menahan seorang lelaki warga China kerana dipercayai memasang Jalur Gemilang terbalik di Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City.
  • Suspek berusia 38 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing negatif.
  • Siasatan sedang dijalankan mengikut undang-undang berkaitan kesalahan penggunaan tidak wajar lambang negara.


Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira 4 petang.

"Kita turut merampas sehelai bendera Malaysia dan siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta ujian saringan awal air kencing negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Rahaman berkata suspek direman tiga hari bermula hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017), Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/1963.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan berbaur provokasi berkaitan isu ini melalui mana-mana platform media sosial," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 16 saat tular di laman sosial memaparkan sebuah kilang di Senai memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

-- BERNAMA

#lelaki warga China #polis tahan #Jalur Gemilang #padang bendera terbalik