Polis tahan lelaki warga emas pandu van sekolah secara bahaya, melawan arus

Bernama
Mei 13, 2022 10:05 MYT
Polis menahan seorang lelaki warga emas semalam yang didapati memandu sebuah van sekolah secara berbahaya dan melawan arus. - Foto Sinar Harian/media sosial
LUMUT: Polis menahan seorang lelaki warga emas semalam yang didapati memandu sebuah van sekolah secara berbahaya dan melawan arus di Jalan Lumut - Sitiawan di sini selepas video tindakannya itu tular dalam sosial media.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata lelaki berusia 74 tahun itu ditahan pada pukul 8.20 malam selepas pihaknya mengesan video berdurasi 19 saat itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok, pada sebelah petangnya.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku Rabu lepas kira-kira pukul 7.15 malam. Van itu membawa lapan pelajar sekolah berusia lingkungan 13 hingga 14 tahun dan lelaki itu mengaku van dipandu dalam keadaan tergesa-gesa kerana dia hendak menghantar pelajar pulang ke rumah masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata satu kertas siasatan kesalahan trafik telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.
Beliau seterusnya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dengan menelefon 05-6886222 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
#van sekolah #warga emas #pandu lawan arus #Jalan Lumut - Sitiawan #video tular #media sosial #TikTok #Polis Daerah Manjung