KOTA BHARU,: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang pemandu lori warga emas dan merampas 6,000 anak pokok yang dipercayai diseludup dari Thailand untuk dihantar ke Kedah dalam serbuan di Kampung Padang Licin, Pasir Mas, hari ini.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan itu dilakukan kira-kira 11.30 pagi selepas anggota Batalion 8 PGA menahan sebuah lori jenis Hicom yang dipandu lelaki berusia 61 tahun dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemukan masing-masing 2,000 anak pokok bunga kemboja, pokok cermai dan pokok bunga kaktus, dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan RM300,000.
"Suspek dipercayai bertindak sebagai pemandu dan mengaku terbabit dalam kegiatan berkenaan sejak kira-kira lima tahun lalu.
"Suspek mendakwa bekerja dengan seorang lelaki warga Thailand dikenali sebagai 'Salleh' dan menerima upah RM300 bagi setiap penghantaran anak pokok ke sebuah nurseri di Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata barang kes diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Beliau berkata risikan dan pemantauan akan diteruskan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan negara.
-- BERNAMA