MALAYSIA

Polis tahan lelaki yang jadi mangsa pukul sekumpulan individu

Dewi Nur Harasha Alias 17/07/2025 | 15:41 MYT
Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada dakwaan kecurian barang kemas. - Tangkap layar media sosial
NIBONG TEBAL: Polis menahan seorang lelaki yang menjadi mangsa pukul sekumpulan individu dan dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda bagi membantu siasatan berhubung satu kes curi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata, polis mengenal pasti kewujudan satu video tular berdurasi dua minit dan lima saat di aplikasi TikTok yang memaparkan insiden berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di satu kawasan di daerah ini pada jam 7.16 malam Rabu, yang dipercayai berpunca daripada dakwaan kecurian barang kemas melibatkan mangsa.

Menerusi rakaman video terbabit, tiga suspek lelaki telah bertindak memukul mangsa di bahagian kepala dan badan tanpa menggunakan senjata sebelum memaksanya masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka serta kepala dan menerima rawatan di hospital.

Bagaimanapun, polis menahan mangsa berkaitan kes curi dan dia kini direman selama empat hari sehingga 20 Julai (Ahad) bagi siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Jay January berkata, polis juga sedang mengesan semua suspek lain yang memukul mangsa untuk tindakan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sarina Mohd Adam di talian 017-291 2781 bagi membantu siasatan.

Dalam masa sama, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman sosial Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, malam ini.

#video tular #media sosial #lelaki dipukul #kes curi #polis