MALAYSIA

Polis tahan lima individu termasuk wanita asing, rampas dadah bernilai hampir RM3 juta

Bernama 02/07/2025 | 14:45 MYT
M. Kumar menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah dianggar bernilai hampir RM3 juta dalam operasi khas di sekitar bandar raya ini bulan lepas pada sidang media hari ini. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan lima individu termasuk dua wanita warga asing serta merampas pelbagai dadah dianggar bernilai hampir RM3 juta dalam operasi khas di sekitar bandar raya ini bulan lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor itu melibatkan tiga serbuan berasingan antara 12 tengah hari hingga 9 malam, 19 Jun lepas.
Beliau berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berumur antara 29 hingga 46 tahun, dengan seorang daripada lelaki itu dipercayai dalang utama sindiket.
"Mereka menggunakan dua unit pangsapuri serta sebuah rumah teres jenis berpagar dan berpengawal untuk menyimpan dan membungkus dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.
"Urus niaga dipercayai menggunakan aplikasi WeChat dengan berhubung terus dengan pembeli sebelum meninggalkan dadah di lokasi tertentu seperti tepi jalan, longkang atau tong sampah," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kumar berkata bayaran dibuat secara dalam talian tanpa sebarang pertemuan fizikal antara pengedar dan pembeli.
Beliau berkata dalam operasi itu, polis merampas dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 16,865 gram bernilai RM2.8 juta, ketamin (104 gram) bernilai RM20,800, pil Erimin 5 (548 gram atau 1,950 biji) bernilai RM54,000, pil ekstasi (375 gram atau 1,250 biji) bernilai RM62,625, dan pil yaba (7 gram atau 35 biji) bernilai RM525, dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM2.95 juta.
"Dadah dirampas mampu digunakan 59,971 penagih. Polis turut merampas pelbagai peralatan memproses dan membungkus dadah selain menyita lima kenderaan pelbagai jenis bernilai RM228,600, wang tunai RM9,100 serta sejumlah barang kemas bernilai RM18,901," katanya menambah keseluruhan rampasan dadah dan harta disita dalam operasi itu dianggar bernilai RM3.21 juta.
Kumar berkata kelima-lima mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala tiga daripadanya memiliki rekod jenayah dan dadah serta dikehendaki polis mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 39C dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua direman hingga 3 Julai untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua wanita Vietnam turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, beliau memaklumkan bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun lepas, JSJN Johor menahan 12,835 individu atas pelbagai kesalahan dadah serta merampas 1.08 tan dadah dan 5,816.56 liter bahan dipercayai dadah dianggar bernilai RM106.97 juta.
"Turut disita dalam tempoh itu ialah aset sindiket berkaitan dadah bernilai RM9.23 juta," katanya.
-- BERNAMA
#Akta Imigresen #warga asing #tong sampah #barang kemas