NATIONAL

Polis tahan lima lagi suspek serang, tetak lelaki di Butterworth

Bernama 20/05/2025 | 09:15 MYT
Mangsa bersama rakannya tiba di hadapan restoran dan apabila membuka pintu kereta untuk keluar, mereka diserang seorang suspek yang memakai topeng dari arah belakang. - Foto Sinar Harian
BUTTERWORTH: Polis menahan lima lagi lelaki bagi membantu siasatan kes tetak seorang lelaki sehingga parah di hadapan sebuah restoran di Jalan Raja Uda, di sini Jumaat lepas.


Ringkasan AI
  • Penahanan suspek berkaitan kes tetak di Pulau Pinang: Polis menahan lima lagi lelaki bagi membantu siasatan kes serangan dengan parang terhadap seorang lelaki di hadapan restoran di Jalan Raja Uda.
  • Mangsa tidak mengenali penyerang: Lelaki berusia 41 tahun yang menjadi mangsa serangan mendakwa tidak mengetahui punca sebenar dia diserang.
  • Siasatan polis dan tindakan undang-undang: Polis sedang mengenal pasti punca insiden serta mengesan dalang utama kejadian.


Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt C.Tharmalingam berkata lima lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang semalam dan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.

"Setakat ini tujuh lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes itu termasuk dua suspek pada Jumaat lepas, siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis percaya dengan penahanan mereka akan dapat membantu siasatan.

"Menurut lelaki berumur 41 tahun yang menjadi mangsa serangan, dia tidak tahu punca sebenar kenapa dia diserang dan ditetak dengan parang oleh kumpulan tersebut, malah tidak mengenali mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis juga sedang mengenal pasti punca sebenarnya kejadian itu termasuk mengesan dalang utama insiden tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 malam itu, mangsa bersama rakannya tiba di hadapan restoran untuk menjamu selera dan apabila membuka pintu keretanya untuk keluar, tiba-tiba mereka diserang seorang suspek yang memakai topeng dari arah belakang.

Mangsa cuba melarikan diri sebelum dilanggar oleh kereta dinaiki suspek sehingga terjatuh, sebelum suspek bersama dua lagi rakannya kemudian menyerang mangsa menggunakan parang.

-- BERNAMA



#tetak lelaki #Butterworth #polis Seberang Perai #cedera parah