MALAYSIA

Polis tahan pasangan kekasih disyaki terlibat tujuh kes pecah rumah, samun

Bernama 21/06/2025 | 06:30 MYT
Pasangan lelaki dan perempuan masing-masing berusia 24 dan 31 tahun itu, yang tidak bekerja, ditahan di Kuala Kurau, Perak pada 4 Jun lepas. - Gambar hiasan
MELAKA: Sepasang kekasih ditahan kerana disyaki terlibat dalam tujuh kes jenayah pecah rumah dan samun di dalam serta luar Melaka sejak Januari lepas.

Ringkasan AI
  • Sepasang kekasih ditahan di Perak kerana disyaki terlibat dalam tujuh kes pecah rumah dan samun di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor, dengan modus operandi menyasarkan rumah inap dan mencuri barangan elektrik serta perabot.
  • Polis merampas pelbagai barangan termasuk rantai emas, dua kereta, lima telefon bimbit dan resit pajak gadai, dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 392 Kanun Keseksaan.
  • Dalam kes berasingan, seorang peniaga pakaian ditahan kerana melepaskan tembakan menggunakan pistol angin di Semabok, dan kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pasangan lelaki dan perempuan masing-masing berusia 24 dan 31 tahun itu, yang tidak bekerja, ditahan di Kuala Kurau, Perak pada 4 Jun lepas.
"Pada 28 Mei lepas, polis menerima dua laporan berhubung kes pecah rumah dan samun melibatkan rantai emas di daerah Melaka Tengah yang dipercayai dilakukan pasangan itu.
"Modus operandi mereka ialah menyasarkan rumah inap dan mencuri pelbagai barangan elektrik serta perabot di premis berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pasangan kekasih berkenaan terlibat dalam kes pecah rumah dan samun masing-masing tiga kes di Melaka Tengah dan empat kes di Kuala Lumpur dan Selangor.
Christopher berkata polis turut merampas pelbagai barangan termasuk peralatan elektrik, perabot rumah, seutas rantai tangan emas, dua kereta, lima resit pajak gadai serta lima telefon bimbit.
Beliau berkata, siasatan terperinci masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang peniaga pakaian ditahan kerana disyaki melepaskan tembakan menggunakan pistol angin di Jalan Johor, Semabok pada 8 Jun lepas.
"Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek berusia 35 tahun itu ditahan di Puchong, Selangor pada 17 Jun.
"Polis turut merampas sebuah beg berwarna hitam, sepucuk pistol angin berwarna perak hitam berjenama 'Pietro Beretta Gardone V.T.', satu unit speed loader dan 30 butir bebola besi (ball bearing)," katanya.
Beliau berkata suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Katanya kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
-- BERNAMA
#kes samun #pasangan kekasih #Melaka #Christopher Patit