KULAI: Seorang penganggur ditahan malam tadi selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk sebuah tadika di Bandar Putra di sini pada Ogos tahun lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai Supt Yusof Othman berkata lelaki tempatan berusia 31 tahun itu, ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Kulai pada kira-kira pukul 7.30 malam di hadapan sebuah kedai runcit di jalan utama Felda Bukit Ramun, Gugusan Felda Taib Andak di sini.

Beliau berkata satu laporan polis dibuat seorang guru pada 16 Ogos tahun lepas selepas mendapati terdapat kesan umpil pada pintu tadika di Jalan Kenari, Bandar Putra di sini, sebelum mendapati sebuah komputer riba serta sebuah projektor telah hilang.

"Mangsa yang kemudiannya membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat seorang lelaki yang tidak dikenal pasti bangsanya telah menceroboh masuk tadika berkenaan, membabitkan kerugian dianggarkan RM2,000.

"Hasil siasatan awal mendapati, lelaki terbabit mengaku terlibat dalam kegiatan pecah tadika di kawasan Bandar Putra pada 15 Ogos tahun lepas, dan siasatan lanjut akan dijalankan dalam penglibatan kes jenayah lain di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yusof berkata pihaknya turut merampas dua komputer riba dan enam telefon bimbit pelbagai jenama dan pengecaman terhadap barangan rampasan akan dilakukan oleh mangsa.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta rekod orang dikehendaki melibatkan kes 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dia akan ditahan reman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kali kedua, jika disabit bersalah," katanya.

-- BERNAMA