NATIONAL
Polis tahan pengawal keselamatan didakwa lakukan pemerasan di hospital
Polis Daerah Kajang mengesahkan penahanan seorang pengawal keselamatan susulan satu kejadian tular di media sosial membabitkan dakwaan pemerasan terhadap seorang pengunjung hospital. - Gambar hiasan
KAJANG : Polis Daerah Kajang mengesahkan penahanan seorang pengawal keselamatan susulan satu kejadian tular di media sosial membabitkan dakwaan pemerasan terhadap seorang pengunjung hospital.
Ringkasan AI
- Penahanan pengawal keselamatan: Polis Daerah Kajang mengesahkan penahanan seorang pengawal keselamatan berusia 28 tahun yang didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang pengunjung hospital. Suspek kini direman selama dua hari untuk siasatan lanjut.
- Siasatan dan tindakan undang-undang: Kes ini disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, atau sebat. Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, dengan hukuman denda maksimum RM100.
- Kejadian tular dan seruan polis: Video kejadian yang berlaku pada 23 Disember 2024 telah tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.
Mangsa yang merupakan seorang wanita Melayu berusia 31 tahun, telah membuat laporan polis pada malam yang sama iaitu pada 19 Mei lalu kira-kira jam 11.27 malam bagi tindakan lanjut.
Suspek dipercayai merupakan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kini direman selama dua hari sehingga 21 Mei 2025 bagi membantu siasatan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebat atau gabungan mana-mana hukuman tersebut. Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, yang membawa hukuman denda maksimum RM100 jika disabit kesalahan.
Pada 19 Mei lalu, seorang pemilik akaun TikTok telah memuat naik sebuah video berdurasi 55 saat yang memaparkan seorang lelaki dipercayai meminta wang tunai RM50 daripada seorang pengunjung hospital.
Kejadian yang berlaku pada 23 Disember 2024 sekitar jam 4 petang itu telah mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat, terutamanya berhubung tindakan pengawal keselamatan yang didakwa bersikap kasar dan mengeluarkan ugutan terhadap pengunjung yang meletakkan kenderaan di kawasan tidak dibenarkan.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Ghazali bin Zulkifli di talian 016-9140758.