GEORGE TOWN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 7,180 gram (g) bernilai RM36,162 dalam siri serbuan di sekitar Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, pihaknya menjalankan serbuan di tepi jalan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor dan menahan seorang lelaki berumur 34 tahun pada 12.50 tengah hari, 29 Dis lepas.

"Semasa serbuan itu, lelaki yang bekerja sebagai juruteknik pemasangan talian Internet sedang memandu kereta jenis Perodua Myvi dan sebaik polis mengarahkanya dia berhenti untuk pemeriksaan, suspek bertindak memecut laju kenderaan bagi melarikan diri daripada pihak berkuasa.

"Namun semasa dalam usaha melarikan diri, lelaki itu telah melanggar sebuah lori yang berada di laluan berkenaan iaitu kira-kira 10 meter dari lokasi awal sebelum polis berjaya menahannya, tiada sesiapa yang cedera dalam kemalangan itu dan hanya kereta suspek mengalami kerosakan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas lelaki dan kereta dipandunya, polis merampas tiga peket plastik besar heroin seberat 1,370 g dan sembilan peket kecil juga heroin sebanyak 110 g yang kesemuanya bernilai RM21,912.40.

Soffian berkata ekoran penahanan suspek pertama, polis menjalankan serbuan di tepi jalan di Jalan Perusahaan, Perai dekat sini dan menahan seorang lelaki berumur 44 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, pada 7.15 malam 29 Dis lepas.

Katanya, tiada dadah ditahan bersama suspek kedua itu dan berdasarkan siasatan, lelaki terbabit berperanan sebagai pembekal dadah dalam sindiket itu yang diperolehnya daripada rangkaian pengedaran bahan terlarang berkenaan.

"Polis seterusnya menyerbu sebuah rumah flat di Tanjung Bungah pada 1 pagi 30 Dis dan menahan seorang wanita berusia 30 tahun sebelum merampas enam ketulan mampat yang setiap satu dibalut kertas kuning keemasan mengandungi 5,700 g ganja bernilai RM14,250," katanya.

Beliau berkata wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu merupakan janda yang mempunyai tiga anak dan dia juga ialah teman wanita kepada suspek pertama yang ditahan.

Menurutnya, hasil risikan mendapati sindiket itu bergiat aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Julai tahun lepas dan mengedar bahan terlarang terbabit untuk pasaran di sekitar Gelugor dan Tanjung Tokong.

"Dua lelaki itu positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah. Kesemua tiga individu itu kini direman tujuh hari hingga esok bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA