IPOH: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai bertanggungjawab dalam kes samun bersiri dengan bersenjatakan parang, di kedai-kedai serbaneka 24 jam sekitar bandar raya Ipoh.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang berlaku sejak Khamis lalu, membabitkan kerugian pelbagai jenis rokok serta wang tunai hasil jualan.

Yahaya berkata, suspek berusia 29 tahun yang juga penganggur itu ditahan semalam (Sabtu) pada jam 12.55 tengah malam di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, Bercham di sini.

"Lanjutan daripada tindakan siasatan, pihak polis telah mengadakan operasi khas dan berjaya menangkap seorang penganggur lelaki berumur 29 tahun yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kes-kes tersebut.

"Tangkapan itu dibuat dalam tempoh kurang daripada 30 jam selepas laporan polis pertama diterima.

"Dalam pada itu, pihak polis turut berjaya merampas beberapa barang kes, termasuk kenderaan yang digunakan oleh suspek semasa tangkapan dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak siasatan berjaya memperoleh perintah tahanan reman ke atas suspek tersebut selama lima hari, dari 16 hingga 20 April bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek berkenaan, dipercayai sekurang-kurangnya tiga kes samun bersenjatakan parang yang dilaporkan di bandar raya ini berjaya diselesaikan.

Yahaya juga menasihatkan masyarakat supaya berwaspada terhadap keselamatan harta benda masing-masing untuk mengurangkan peluang penjenayah, khususnya menjelang musim perayaan hari raya Aidilfitri nanti.

"Kepada para peniaga pula, dinasihatkan supaya berhati-hati dengan individu bertopi keledar yang memasuki premis perniagaan untuk membeli barangan, tetapi sebaliknya mengambil peluang merompak peniaga," katanya.

Sebarang maklumat mengenai perlakuan jenayah, boleh menghubungi pusat kawalan daerah (DCC) IPD Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05-254 2222.