Tiga lelaki dipercayai dalang aktiviti penjualan pil kuda di Gua Musang, Kelantan ditahan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, tangkapan itu dilakukan di dua lokasi berasingan di kampung berkenaan.

Serbuan dilakukan hasil aduan penduduk kampung yang bimbang dengan kegiatan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai 956 biji pil WY dengan anggaran nilai RM19,120. Suspek seorang lelaki Melayu berumur 44 tahun dan suspek kedua juga Melayu berusia 33 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki pertama mempunyai tiga rekod dari jenayah yang lampau. Dan suspek kedua mempunyai satu rekod lampau.

“Jadi kesemua pil WY disyaki dadah dijumpai dalam satu plastik berwarna kuning dibalut dengan pelekat dan di dalamnya mempunyai lima paket kecil berwarna biru dan setiap paket mengandungi 200 biji pil,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Mohd Taufik dalam serbuan kedua kira-kira di kampung sama pula, pihaknya menahan seorang lagi lelaki berumur 40 tahun.

Pihaknya turut menemui 509 biji pil WY bernilai RM10,180 bersama satu paket serbuk kristal dipercayai syabu seberat 5.25 gram bernilai RM1,500.

Ketiga suspek itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah berbahaya 1952 dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.