GEORGE TOWN: Polis telah menahan seorang wanita yang bertindak memasuki kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal di sini sebelum membuat provokasi dan merosakkan sudut 'wow faktor' di balai itu malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata suspek tiba-tiba datang ke BBP Bagan Jermal pada 11.45 malam dan menimbulkan provokasi sebelum merosakkan sudut itu menggunakan penukul.

"Menurut pegawai dan anggota bomba yang bertugas di BBP Bagan Jermal, mereka tidak mengenali wanita itu dan cuba menghalangnya daripada merosakkan sudut wow faktor tersebut namun dia tidak menghiraukannya.

"Pegawai bomba yang bertugas terus menghubungi pihak polis sebelum mereka datang dan menahan wanita tersebut untuk siasatan lanjut, pihak bomba turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 19 saat di media sosial memaparkan seorang wanita bertindak merosakkan bahagian dinding yang dijadikan sudut wow faktor di BBP Bagan Jermal dengan penukul.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong pula berkata pihaknya menahan wanita berusia 53 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu semalam bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod lampau dan ujian saringan juga mendapati wanita itu bebas daripada sebarang jenis dadah.

"Wanita itu direman hingga 5 Julai bagi membantu siasatan dan dia yang disyaki mengalami masalah mental telah dirujuk serta ditahan di Wad Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan lanjut," katanya.

Soffian berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan menasihati orang ramai agar tidak menularkan sebarang gambar serta rakaman video kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

-- BERNAMA