[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN. Pimpinan Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan ikut langkah sama. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Polis tahan wanita, rampas bunga ganja bernilai RM33,000

Bernama 30/12/2025 | 09:15 MYT
Wanita berkenaan kini direman hingga 3 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
ALOR SETAR: Polis menahan seorang wanita dan merampas dadah jenis bunga ganja seberat 1,047 gram bernilai RM33,000 dalam satu operasi di jalan Kuala Kedah dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata bertindak atas maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah menahan wanita berusia 27 tahun itu pada 11.15 malam.

"Hasil pemeriksaan, polis menemukan satu peket plastik lut sinar berisi dadah jenis bunga ganja itu. Turut dirampas, sebuah motosikal yang ditunggang wanita terbabit semasa tangkapan dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu didapati negatif terhadap dadah, namun hasil semakan mendapati dia mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Syed Basri berkata wanita berkenaan kini direman hingga 3 Jan ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

#polis #wanita ditahan #bunga ganja #rekod jenayah #Dadah