MALAYSIA

Polis tahan wanita tular ludah polis

Bernama 31/12/2025 | 22:45 MYT
Suspek bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun, serta membuat isyarat lucah ke arah salah seorang anggota polis.
ALOR SETAR: Seorang wanita yang bertindak agresif terhadap anggota polis dan mengganggu ketenteraman awam di Mergong di sini, pada Selasa, telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata suspek berusia 34 tahun itu, ditahan kira-kira 2.30 petang semalam selepas laporan diterima berkaitan seorang individu dipercayai kurang siuman telah menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat.

Beliau berkata ketika kejadian dua anggota polis ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

"Setibanya di lokasi, anggota polis mendapati suspek seorang wanita warga tempatan sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam. Anggota polis kemudian memperkenalkan diri dan cuba menenangkan keadaan dengan memujuk suspek untuk bertenang dan memberi kerjasama.

"Suspek tiba-tiba bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun, serta membuat isyarat lucah ke arah salah seorang anggota polis. Suspek turut membaling kad pengenalan miliknya ke arah anggota tersebut," katanya dalam kenyataan semalam.

Syed Basri berkata suspek juga meludah ke arah anggota polis berkenaan, sambil mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam.

"Kejadian tersebut telah dirakam orang awam dan kemudian ditularkan di platform media sosial Tik Tok," katanya.

Syed Basri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam semasa menjalankan tugas.

Beliau berkata suspek turut disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, kerana dengan sengaja mengeluarkan kata-kata yang boleh mendatangkan kemarahan atau menyinggung perasaan penganut mana-mana agama dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


#Mergong #isyarat lucah #hina agama Islam #wanita ludah polis