ALOR SETAR: Seorang pegawai dan anggota polis berusia 30-an cedera selepas terkena pisau pemotong kertas digunakan suspek kes curi iaitu seorang lelaki warga emas dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Selasih, Kulim, kira-kira 87 kilometer (km), dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Mohd Redzuan Salleh, berkata, dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, pegawai tersebut mengalami kecederaan di bahagian dada dan menerima 36 jahitan manakala seorang anggota cedera di kaki dan menerima lima jahitan.

"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima panggilan mengenai kes curi di sebuah pasar raya. Sepasukan polis diketuai Pegawai Risikan/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim telah ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, didapati suspek telah melarikan diri dengan menaiki motosikal. Pasukan polis kemudiannya melihat suspek berhenti di hadapan sebuah rumah dan pegawai berkenaan telah memperkenalkan diri sebagai polis kepada suspek," katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata selepas itu suspek berusia 82 tahun itu telah mengambil sesuatu di dalam raga motosikalnya dan terus menghayun senjata berkenaan ke arah pegawai itu hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian dada.

"Seorang anggota dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim yang berada di situ cuba menahan suspek dan telah berlaku pergelutan sehingga menyebabkan anggota berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri. Suspek telah berjaya ditahan di lokasi kejadian oleh pasukan bantuan.

"Turut dirampas sebilah pisau pemotong kertas dan pelbagai barangan yang dicuri. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau bagaimanapun ujian awal air kencing mendapati suspek bebas dari pengaruh dadah," katanya.

Katanya, kedua-dua anggota polis berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Kulim.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh dan Seksyen 380 KK kerana mencuri," katanya.

-- BERNAMA