Polis tembak isteri dan bapa mertua sebelum bunuh diri

Bernama
September 15, 2013 08:40 MYT
Seorang anggota polis berpangkat lans koperal menembak mati isteri dan bapa mertuanya sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di Felda Chempelak, Labis dan di Kampung Padang Lerek 1, di sini malam ini.
Isteri suspek berusia 26 tahun itu merupakan seorang kerani sekolah di Bandar Tangkak di sini manakala bapanya seorang iman di Kampung Padang Lerek 1, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam, anggota polis itu dikatakan terlebih dahulu menembak isterinya di kuarters Pondok Polis Felda Chempelak di Labis, Segamat sebelum pergi ke rumah bapa mertuanya di Kampung Padang Lerek 1 yang terletak hampir 90 kilometer.
Suspek, 28 tahun, dikatakan mencari ibu mertua tetapi gagal dan terserempak dengan bapa mertuanya yang ketika itu sedang bersiap-siap hendak ke masjid lalu menembaknya.
Suspek kemudian bertindak menembak diri sendiri dan rebah serta meninggal dunia di rumah bapa mertua, manakala bapa mertua yang cedera parah akibat terkena tembakan dikejarkan ke Hospital Daerah di sini tetapi disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 8.15 malam.
Sementara itu seorang jiran mangsa, yang enggan dikenali, berkata beliau terkejut apabila terdengar bunyi letupan dan salah seorang anak lelaki mangsa tiba-tiba datang ke rumahnya memberitahu ayahnya ditembak oleh suspek yang juga abang iparnya.
"Saya amat terkejut dan memberanikan diri untuk melihat ke dalam rumah mangsa dan apabila masuk, saya lihat dua tubuh terbaring di ruang tamu berlumuran darah.
"Iman ketika itu berada dalam keadaan terlentang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan manakala suspek tertiarap di atas meja," katanya yang bertindak menghubungi polis dan ambulans sejurus selepas itu.
Katanya, sebelum itu beliau ada melihat suspek pulang ke rumah bapa mertuanya itu bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun dengan menaiki sebuah Proton Wira sebelum salah seorang anak perempuan iman itu keluar bermain-main bersama anak suspek.
Sementara itu, jenazah suspek dan bapa mertuanya dibawa ke bilik mayat Hospital Daerah Ledang di sini manakala sepasukan anggota forensik masih menjalankan siasatan di rumah kejadian di Kampung Padang Lerek 1 malam ini.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Harun Idris turut berada di tempat kejadian, namun belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.
#bunuh diri #ledang #polis
;