GEORGE TOWN: Pelanggaran dua bot nelayan di kawasan Sungai Kuala Muda, Penaga, pada awal bulan ini membawa kepada pembongkaran kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian pada 6 Julai itu, polis menemui 60 kilogram syabu yang bernilai RM2.1 juta.

Katanya, dua lelaki berusia 38 tahun dan 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Dalam kejadian itu (pelanggaran bot), seorang daripada lelaki di dalam bot tersebut telah terjatuh ke dalam laut dan gagal dikesan sehingga hari ini.

"Polis tidak menolak kemungkinan suspek berkenaan telah melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Rabu.

Sehubungan itu katanya, polis sedang mengesan dua lelaki untuk membantu siasatan kes itu iaitu Muhammad Azim Zahari,19, dan Mohd Azha Tajuddin, 32, yang kedua-dua mereka berasal dari Penaga.

Mengulas lanjut, Shuhaily berkata, siasatan mendapati sindiket itu bertindak sebagai 'transporter' dengan menjalankan urus niaga dadah di kawasan perairan untuk dihantar ke negara jiran.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Shuhaily berkata, polis turut melumpuhkan satu lagi sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat individu termasuk pasangan kekasih di sekitar Perai dan Simpang Ampat, Nibong Tebal.

Dalam serbuan pada 12 Julai itu, polis merampas dadah bernilai RM1.47 juta.

Menerusi serbuan pertama di hadapan sebuah rumah di Perai, polis menahan dua lelaki berusia 34 dan 42 tahun dan merampas 27 bungkusan syabu seberat 29.1 kilogram.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menahan seorang wanita berumur 25 tahun yang dipercayai teman wanita kepada lelaki 42 tahun yang juga dalang utama sindiket pengedaran dadah itu, katanya.

Katanya, wang tunai berjumlah RM760,000 serta pelbagai barangan kemas bernilai RM55,000 yang dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah dirampas.

Menurut Mohd Shuhaily, polis kemudiannya membuat serbuan susulan sebelum menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun di Simpang Ampat yang dipercayai salah seorang anggota sindiket tersebut.

Jelasnya, kesemua dadah yang dirampas bernilai RM1.4 juta dipercayai untuk pasaran di tempatan.

Semua  suspek direman tujuh hari membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.