KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu akan memberikan penumpuan khusus di tiga daerah yang berisiko mengalami banjir serius menerusi peralihan Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, berdasarkan trend banjir berlaku di negeri itu sebelum ini, ia melibatkan daerah  Hulu Terengganu, Kemaman dan Dungun.

"Jadi kerana itulah kita menyusun atur untuk meletakkan keperluan mengikut justifikasi. Kita akan gerakkan elemen-elemen utama kita atau pun bantuan yang lebih kepada daerah-daerah ini.

"Tetapi ini adalah berdasarkan maklumat akhir yang kita akan terima daripada MetMalaysia dan juga daripada JPS Negeri Terengganu yang akan membantu kita," katanya.

Beliau berkata, bagi menghadapi bencana banjir itu juga seramai 872 pegawai dan anggota diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Jelasnya jumlah itu akan ditambah dengan anggota unit sokongan seperti Pasukan Gerak Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) atau Bukit Aman jika keadaan memerlukan.

Selain itu, pihaknya juga telah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika MLT yang dijangka bermula awal November depan.


Polis Terengganu | Tumpu tiga daerah berisiko berdepan banjir serius