SEREMBAN: Pihak polis menerima dua laporan berhubung isu dokumen Surat Cara Proklamasi, yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim secara tanpa rela dan paksaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata susulan laporan yang dibuat oleh Menteri Besar itu, pihak polis akan mengklasifikasikan kes berkenaan bagi menentukan hala tuju serta skop siasatan yang sewajarnya.
"Saya boleh sebut ada dua laporan polis dibuat oleh Menteri Besar … menjadi kewajipan kita apabila menerima satu laporan, kita akan klasifikasikanlah tentang predikat dan hala tuju siasatan.
"Saya serahkan kepada PDRM untuk kendalikan aduan itu," katanya kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan tajaan umrah kepada Nurul Arini Abdullah, 19, dan ibunya, Norini Basir, 62, di sini hari ini.
Nurul Arini, yang bakal mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM), adalah antara individu yang dibantu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga memperoleh kad pengenalan pada tahun lepas.
Saifuddin Nasution berkata pihak polis bertanggungjawab menjalankan siasatan secara profesional mengikut saluran undang-undang sedia ada.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati semua lapisan masyarakat supaya sentiasa menghormati lunas hukum dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengganggu proses siasatan mahupun ketenteraman awam.
Ismail sebelum ini dilaporkan mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkenaan sebelum membuat laporan polis pada 8 Sept bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dakwaan itu perlu disahkan peguam yang hadir ketika proses penandatanganan itu berlaku bagi mengesahkan perkara berkenaan.
Presiden UMNO itu turut berkata parti berkenaan tidak akan campur tangan, sebaliknya menghormati sepenuhnya institusi diraja, undang dan adat di Negeri Sembilan.
-- BERNAMA