Polis teruskan siasatan kes dera di sebuah madrasah di Sungai Petani

Syafique Shuib
Julai 28, 2016 14:25 MYT
Antara gambar yang kini viral di media sosial. -Facebook/Shadam Zain
PIHAK polis akan meneruskan siasatan setelah beberapa keping gambar yang dimuat naik di Facebook yang menunjukkan dua kanak-kanak cedera akibat dipukul teruk.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md. Zukir Md. Isa dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan awal polis mengesahkan kejadian itu berlaku melibatkan tiga murid berusia 10 tahun masing-masing.
“Mereka dipukul dengan rotan oleh seorang ustaz ganti di madrasah. Punca kejadian disebabkan tiga pelajar ini hendak melarikan diri dari asrama.
“Siasatan masih dibuat oleh pihak polis dan mangsa akan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.
Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat pagi tadi di IPD Kuala Muda oleh anak kepada pengsasas Maahad Tahfiz Kampung Huda itu.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berusia 46 tahun yang menafikan penglibatan Maahad Tahfiz itu dalam kes dera berkenaan.
“Beliau juga merupakan anak kepada pengasas madrasah berkenaan,” katanya.
Namun siasatan lanjut akan diteruskan memandangkan polis masih belum menerima laporan daripada ketiga-tiga mangsa.
Pada 26 Julai, seorang pengguna Facebook bernama Shadam Zain memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan anak saudara sepupunya dipukul oleh seorang ustaz dari salah sebuah sekolah tahfiz di
Sungai Petani.
“Masuk akal tidak? Budak sepuluh tahun keluar asrama dengan kawan-kawan sampai kena belasah dengan kayu sebesar ibu jari orang dewasa.
“Tiga orang kena pukul. Seorang lagi kepala berdarah, seorang lagi tidak pasti. Adik ini sampai bahu terkehel,” katanya di Facebook.
Pada Rabu, beliau memuat naik gambar seorang lagi mangsa.
“Hari ini baru dapat gambar kawan dia yang dipukul hingga terkoyak kulit kepada sampai berjahit, sampai hampir pengsan.
“Tidak kena dengan adik atau anak sendiri bolehlah sembang sahaja,” katanya lagi di Facebook.
Gambar kanak-kanak berkenaan kini viral di media sosial, sekaligus mengundang pelbagai reaksi dan kemarahan netizen.
Gambar yang dimuat naik pada hari Rabu itu kini catat hampir 3,500 perkongsian.
#ACP Md. Zukir Md. Isa #kes dera #sekolah tahfiz #Sungai Petani