MALAYSIA

Polis Thailand akan serah Eda Ezrin kepada Imigresen Malaysia di ICQS Rantau Panjang

Bernama 07/08/2025 | 06:50 MYT
Eda Ezrin dijangka dibawa ke Kompleks ICQS Rantau Panjang sebelum dihantar ke Balai Polis Rantau Panjang untuk diambil keterangan. - Gambar fail
PASIR MAS: Polis Thailand akan menyerahkan penyanyi dikir barat, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin, yang sebelum ini ditahan pihak berkuasa Thailand atas kesalahan berkaitan dadah, kepada pihak Imigresen Malaysia di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang hari ini.


Ringkasan AI
  • Polis Thailand akan menyerahkan Eda Ezrin kepada Imigresen Malaysia di ICQS Rantau Panjang selepas dibebaskan dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat berikutan kegagalan pendakwa raya Thailand mengemukakan rayuan.
  • Eda Ezrin, suami dan empat rakannya sebelum ini ditahan atas dakwaan memiliki 6,059 pil Yaba dan akan dirakam keterangan oleh JSJN Kelantan sebaik tiba di Malaysia.
  • Proses penyerahan melibatkan dokumentasi di Balai Polis dan Imigresen Sungai Golok sebelum dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang, disaksikan oleh ahli keluarga yang menunggu sejak awal pagi.


Perkara berkenaan disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

"Ya. Polis Thailand akan menyerahkan penyanyi itu (Eda Ezrin) kepada Jabatan Imigresen Malaysia di ICQS Kelantan," katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Semalam, Hussein dilapor berkata Eda Ezrin bersama suami dan empat rakannya akan dipanggil untuk dirakam keterangan sebaik sahaja mereka dibebaskan dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.

Media melaporkan Mahkamah Penjara Narathiwat membebaskan Eda Ezrin, suaminya dan empat individu lain pada kira-kira 11 pagi (waktu tempatan) selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti bagi membuat rayuan terhadap keputusan sebelum ini.

Keenam-enam mereka sebelum ini ditahan atas dakwaan memiliki 6,059 pil Yaba pada 1 Nov lepas.

Permohonan pihak pendakwa untuk melanjutkan tempoh bagi mengemukakan rayuan buat kali keenam turut ditolak oleh mahkamah pada Rabu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pekarangan Balai Polis Sungai Golok, Narathiwat, hari ini mendapati beberapa ahli keluarga, suaminya dan empat individu lain berada di lokasi sejak awal pagi bagi mengikuti proses pembebasan dan penyerahan mereka.

Kehadiran mereka mencuri tumpuan apabila dilihat menunggu dengan wajah penuh harapan dan sesekali berinteraksi dengan anggota polis Thailand yang bertugas di kawasan itu.

Bernama difahamkan, Eda Ezrin masih berada di Narathiwat dan dia akan dibawa ke Balai Polis Sungai Golok, seterusnya ke Imigresen Sungai Golok bagi urusan dokumentasi.

Selesai di sana, dia akan dibawa ke Kompleks ICQS Rantau Panjang sebelum dihantar ke Balai Polis Rantau Panjang untuk diambil keterangan.

-- BERNAMA

#Eda Ezrin #kes dadah #Thailand #PDRM #terkini