NARATHIWAT: Polis Thailand memohon bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan dua pemilik gudang penyimpanan mercun dan bunga api yang meletup dalam satu kejadian di Mundok, Sungai Kolok, Narathiwat, yang dipercayai telah melarikan diri ke Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Thailand Lt Jen Surachate Hakpar berkata polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-dua individu warga Thailand itu, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia 42 tahun.

"Kami akan menghubungi Polis Diraja Malaysia untuk membantu mengesan kedua-dua pemilik gudang ini," katanya.

Seramai 12 orang maut, manakala 300 cedera dalam insiden letupan di gudang penyimpanan mercun dan bunga api berkenaan pada 29 Julai lepas.

Sehingga kini, sembilan mangsa telah dikebumikan, manakala tiga lagi masih menunggu laporan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Statistik Pejabat Wilayah Narathiwat menunjukkan 681 premis termasuk rumah, kedai dan sekolah musnah dan mengalami kerosakan dalam insiden pada 3.05 petang (waktu tempatan).

Selain itu, 41 kenderaan dan 27 buah motosikal turut musnah dan lebih 3,000 penduduk dari 681 keluarga terjejas.

Sementara itu, Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Anuruth Imarb berkata kedua-dua pemilik gudang sebelum ini telah memaklumkan kepada polis akan menyerah diri pada 1 Ogos, namun gagal berbuat demikian sebelum waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka.

Kedua-dua pemilik gudang itu menuju ke Hatyai pada 27 Julai lepas dan dilaporkan memasuki Malaysia melalui pintu sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam dua hari kemudian iaitu pada hari kejadian (29 Julai).

-- BERNAMA