Polis menolak kemungkinan perbuatan culik berlaku berikutan kehilangan kanak-kanak berumur enam tahun, William Yau Zhen Zhong di Putra Height, Subang Jaya, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin menjelaskan bahawa buat masa ini tiada sebarang petunjuk yang mengatakan kanak-kanak itu diculik.

“Ahli keluarganya juga turut tidak menerima sebarang tuntutan wang tebusan dan buat masa sekarang ini kami menolak sebarang kemungkinan, adik William Yau ini diculik,” kata Mohd Bakri.

Beliau menambah, polis turut telah memaklumkan kehilangan kanak-kanak itu menerusi Talian Nur 15999 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Dengan berbuat demikian, segala data diri adik William Yau ini termasuk gambarnya sekali telah dipanjangkan kepada anggota-anggota keselamatan di sempadan seluruh Malaysia samada yang berada di Utara dan Selatan Semenanjung,” kata beliau lagi.

Rabu lalu, William Yau Zheng Zhong, atau lebih mesra dikenali sebagai “Ah Zhong” telah ditemui hilang selepas keluar dari kenderaan keluarganya yang berhenti di hadapan sebuah kedai elektronik di Jalan Putra Mahkota di Putra Height.

William Yau berbuat demikian kerana ingin mencari ibu dan bapanya yang ketika itu berada di dalam kedai tersebut kerana adik perempuannya sering menangis.

Abang William Yau yang turut berada dalam kenderaan itu tidak menghalangnya dari keluar dari kenderaan Toyota Storm itu.

Willliam Yau dipercayai hilang setelah ibu dan bapanya kembali semula ke kenderaan dan memeriksa ketiadaan kelibat Yau dalam kenderaan itu.

Laporan polis kemudiannya dibuat di Balai Polis Putra Height dan orang awam yang menemui atau mempunyai maklumat mengenai Yau digesa menghubungi Balai Polis Subang Jaya di talian 03-5631 9800, pegawai penyiasat, Sarjan Goh Lai Thang di 012-219713 atau Ketua Polis Balai Putra Height, Sub Inspector Nordin Mustaffa di 012-315 0775 atau bapa Yau sendiri, Yau Kok Khang di 019-9691 616.