Polis tubuh pasukan khas siasat kekecohan program Syed Saddiq

Bernama
Februari 1, 2020 08:09 MYT
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kes itu akan disiasat secara telus, tegas, berintegriti dan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak. - Foto Sinar Harian
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kes itu akan disiasat secara telus, tegas, berintegriti dan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.
“Pada 31 Januari 2020 antara jam 9.00 malam dan 11.30 malam, di tapak perkhemahan hutan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, satu program Rapat Umum Armada Johor dengan kehadiran YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan telah diadakan.
“Pihak polis Johor telah menerima laporan polis yang menyatakan bahawa semasa program berlangsung, sekumpulan pemuda berpakaian t-shirt berwarna hitam dianggarkan 100 hingga 150 orang, telah memasuki kawasan di mana program itu diadakan.
“Kumpulan itu melakukan provokasi dan kekecohan di tempat kejadian, akan tetapi pihak polis telah berjaya mengawal keadaan di tempat kejadian secara profesional tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Syed Saddiq terpaksa lari, guna jalan tikus, lompat pagar
BACA: Armada buat laporan polis berhubung kumpulan serang Syed Saddiq
Menurut Mohd Kamarudin, hasil siasatan awal polis mendapati, kumpulan pemuda yang hadir itu sengaja menimbulkan kekecohan dengan melaungkan kata-kata yang boleh membangkitkan kemarahan, berunsur ugutan dan berkelakuan agresif di tempat kejadian.
Katanya, sehubungan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 153/355/357/506 Kanun Keseksaan untuk menyiasat insiden berkenaan.- Bernama
#Angkatan Bersatu Anak Mud #ARMADA #berita Malaysia #Berita Terkini #Bersatu #Datuk Mohd Kamarudin Md Din #ketua polis johor #laporan polis #Malaysia #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #PPBM