KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah syabu didalangi seorang wanita Thailand berusia 30 tahun, yang menjadikan sebuah kereta sebagai stor simpanan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 7 hingga 9.15 malam, Jumaat lalu, selain perancang utama itu, polis turut memberkas tiga lagi individu termasuk pasangan suami isteri warga Thailand dan seorang lelaki tempatan.

Menurutnya, dalam ketiga-tiga serbuan itu, polis merampas 16 kilogram (kg) syabu bernilai RM520,000 dan sebuah kereta Nissan Sentra.

Allaudeen menjelaskan, dalam serbuan pertama di tepi jalan Taman Pertama, Cheras, polis menahan seorang pekerja ladang kuda dan pasangan suami isteri yang yang bekerja di sebuah kedai tomyam.

"Susulan daripada tangkapan pertama, polis melakukan serbuan kedua di tempat letak kereta di Solaris, Dutamas dan menjumpai 15 bungkusan dadah jenis syabu di dalam kereta Nissan Sentra.

"Kemudian kita melancarkan serbuan ketiga di sebuah residensi Taman Kobena dan memberkas dalang utama yang merupakan wanita warga Thailand," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Berdasarkan siasatan awal, beliau memberitahu sindiket yang aktif sejak dua bulan lalu itu menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diserahkan kepada pembeli.

Menurutnya, polis masih lagi menjalankan siasatan bagi mengesan punca bekalan tersebut.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan itu boleh dibekalkan kepada 30,000 penagih dadah.

Kesemua mereka yang berusia 23 hingga 30 tahun ujarnya ditahan reman tujuh hari sehingga Khamis.

Allaudeen memberitahu, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kerajaan diminta menyalurkan terus kepada hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-2087222.