Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Polis tumpas sindiket edar dadah bernilai lebih RM1.3 juta, tiga lelaki ditahan

Bernama 28/10/2025 | 10:47 MYT
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh (dua, kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ekstasi bernilai lebih RM1.3 juta hasil penahanan tiga lelaki tempatan dalam serbuan di sekitar kawasan Tampoi di sini pada 22 Okt lepas.


Ringkasan AI
  • Polis menumpaskan sindiket dadah di Tampoi, Johor, dengan penahanan tiga lelaki tempatan dan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.3 juta termasuk serbuk MDMA dan ekstasi.
  • Sindiket dipercayai aktif sejak April 2025, menjadikan rumah sebagai tempat pemprosesan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan tetap; salah seorang suspek dikenal pasti sebagai pengedar utama.
  • Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selepas ujian air kencing menunjukkan mereka positif dadah methamphetamine.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 42 tahun itu ditahan hasil maklumat risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

"Hasil serbuan di sebuah rumah di kawasan Tampoi menemukan pelbagai jenis dadah disyaki serbuk MDMA dianggarkan seberat 8,162 gram, serbuk ekstasi (2,463.62 gram), ketamin (24.73 gram), pil ekstasi (6.40 gram) dan pil Erimin 5 (3.29 gram)," katanya pada sidang media di IPD Johor Bahru Utara di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati daripada tiga suspek ini, seorang berperanan sebagai pengedar, manakala dua lagi yang masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai dan kontraktor binaan adalah pengguna yang mendapatkan bekalan daripada suspek utama.

"Sindiket ini dipercayai aktif sejak April tahun ini dan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat pemprosesan serbuk ekstasi sebelum diedarkan kepada pelanggan tetap dalam kalangan kenalan rapat.

"Ujian saringan awal air kencing ke atas ketiga-tiga suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah didapati positif dadah methamphetamine dan kini direman tujuh hari mulai 23 Okt bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA



#sindiket pengedaran dadah #Tampoi #polis Johor Baharu #lelaki tempatan