GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi warga negara asing dalam serbuan di Jelutong, George Town dan Seberang Perai Tengah pada 16 dan 17 Februari lepas.

Dalam serbuan itu, polis menahan tiga warga asing termasuk pasangan kekasih dipercayai terlibat dalam kes pengedaran dadah jenis syabu, pil kuda dan pil psikotropik.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang itu berjaya merampas dadah bernilai RM978,500.

"Kita menangkap dua lelaki dan satu perempuan warga negara asing berusia  34 hingga 47 tahun. Antara barang yang dirampas ialah 12 bungkus kertas warna coklat.

"Di dalam setiap bungkusan mengandungi 30 paket biru yaba atau pil kuda  berjumlah 90,000 biji, bernilai RM900,000 dan dua syabu dalam bungkusan teh herba Cina (1,930 gram) dan RM69,500 dan rampasan ketiga, 18 paket lutsinar, pil jenis psikotropik bernilai RM9,000.

Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan dadah jenis psikotropik diedarkan untuk pasaran pekerja di tapak pembinaan namun siasatan lanjut masih sedang dijalankan.

"Pil psikotropik ini popular di kawasan (tapak) pembinaan digunakan untuk mereka yang hadapi masalah tidur dan kemurungan, kita percaya bahawa (ia diedarkan) untuk pasaran warga asing yang bekerja di kawasan pembinaan," ujarnya.

Mohd Shuhaily berkata, hasil siasatan mendapati suspek bekerja sebagai kontraktor binaan itu mempunyai dokumen perjalanan diri dengan seorang daripada mereka telah tinggal di Malaysia sejak 10 tahun lepas.

Polis percaya sindiket terbabit aktif melakukan jenayah tersebut sejak awal Mac tahun lepas.

Selain dadah, polis turut menyita tiga buah kenderaan, wang tunai dan barang kemas dengan nilai sitaan berjumlah RM82,550.

Ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek adalah negatif dan mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Sementara itu, bagi kes kedua, Mohd Shuhaily berkata, polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja selepas menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 39 hingga 53 tahun.

Dalam dua serbuan di kawasan di Seberang Perai Tengah itu, polis merampas ganja 950 gram bernilai RM2375,00 dan merampas wang tunai berjumlah RM181,000 yang disimpan di dalam rumah berkenaan.

Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lepas.

Kesemua tangkapan yang bekerja buruh binaan petani itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta positif dadah jenis ganja direman bermula 17 Februari sehingga 23 Februari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.