MALAYSIA

Polis tumpas sindiket rokok seludup bernilai RM700,000 di Teluk Intan

Bernama 06/11/2025 | 04:10 MYT
Lelaki yang ditahan dipercayai bertindak sebagai penghantar untuk sindiket pengedaran rokok seludup di daerah berkenaan.
IPOH: Polis menumpaskan satu sindiket menyimpan dan mengedar rokok seludup bernilai RM700,000 dalam serbuan Ops Kontraban di sekitar Teluk Intan pada 18 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Bakri Zainal Abidin berkata operasi yang dijalankan hasil risikan Ketua Polis Balai Teluk Intan bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun.

Beliau berkata lelaki yang ditahan dipercayai bertindak sebagai penghantar untuk sindiket pengedaran rokok seludup di daerah berkenaan.

"Susulan penahanan itu, polis menjalankan tiga serbuan berasingan yang membawa kepada penemuan sejumlah besar rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai disimpan di beberapa lokasi sekitar Teluk Intan.

"Dalam operasi tersebut, polis merampas lebih 130 kotak dan beberapa guni berisi lebih 65,000 bungkus rokok pelbagai jenama disyaki rokok seludup, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM700,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bakri berkata turut dirampas beberapa batang anak kunci, alat kawalan jauh pintu premis, dua telefon bimbit serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dipercayai digunakan untuk penghantaran rokok seludup itu.

Beliau berkata kes disiasati di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan suspek direman selama 14 hari bermula 19 Okt hingga 1 Nov di bawah Seksyen 116C akta sama bagi membantu siasatan lanjut.

"Pihak polis sedang mengesan pemilik sebenar rokok seludup tersebut serta rakan-rakan sindiket yang terlibat dalam kegiatan penyimpanan dan pengedaran barangan tanpa cukai ini," katanya.

-- BERNAMA





#rokok seludup #Ops Kontraban #Bakri Zainal Abidin #sindiket