NATIONAL

Polis tumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di Melaka

Bernama 27/05/2025 | 12:30 MYT
Dzulkhairi berkata dalam serbuan pertama kira-kira 11.10 malam di sebuah kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz, polis menahan sepasang kekasih melibatkan lelaki tempatan dan wanita Vietnam berumur 30 tahun. - Gambar fail/Bernama
MELAKA: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dengan rampasan keseluruhan berjumlah RM395,020 menerusi serbuan di sini dan Jasin pada 20 Mei dan semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata dalam serbuan pertama kira-kira 11.10 malam di sebuah kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz, polis menahan sepasang kekasih melibatkan lelaki tempatan dan wanita Vietnam berumur 30 tahun.

"Pemeriksaan lanjut menemukan dadah jenis ketamin seberat 70 gram (gram) bernilai RM100 dan hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan di sebuah lagi kondominium di Jalan Klebang Kechil.

"Polis menemukan pelbagai jenis dadah dipercayai untuk pasaran tempatan, iaitu heroin seberat 2,150g, syabu (350g), ketamin (100g), Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (50g) dan pil ekstasi (5,500 biji)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata polis turut menyita harta suspek bernilai RM40,020 termasuk seutas rantai emas, wang tunai RM280 dan sebuah Proton Saga FLX dengan keseluruhan rampasan dadah serta sitaan dianggarkan RM362,370.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif ketamin dan mereka direman selama tujuh hari bermula 21 Mei dengan sambung reman akan dilakukan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Dzulkhairi berkata dalam kes kedua, sepasang suami isteri terdiri daripada lelaki Singapura dan wanita tempatan berumur 38 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman di Bandar Jasin Bestari kira-kira 11 pagi semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas rumah pasangan yang bau tiga bulan berkahwin itu menemukan 212 biji pil ekstasi, pil Erimin 5 (42 biji), syabu (13.7g), ganja (10g), ketamin (80g) dan cecair ketamin (127.5 mililiter) yang dianggarkan bernilai RM16,650.

"Turut disita harta milik pasangan itu bernilai RM16,000 termasuk sebuah Proton Gen 2 dan motosikal jenis SYM Husky.

"Sindiket ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lepas dan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dengan seorang daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah lampau di Singapura," katanya sambil menambah kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


#Polis Melaka #sindiket pengedaran dadah #rampas #serbuan