Skip to main content

Malaysia

Polis tumpaskan sindiket lombong bitcoin curi bekalan elektrik, TNB rugi lebih RM67,000

JOHOR BAHRU, 24 Julai -- Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad (tengah) bercakap pada sidang media berhubung kejayaan polis menumpaskan satu sindiket yang menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram dengan menggunakan bekalan elektrik curi dalam operasi khas pada 22 dan 23 Julai lepas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad (tengah) bercakap pada sidang media berhubung kejayaan polis menumpaskan satu sindiket yang menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram. - Foto Bernama
Advertisement

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket yang menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto bitcoin secara haram menggunakan bekalan elektrik yang dicuri daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), menerusi serbuan di empat premis di sekitar Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara (JBU) dan Kulai pada Rabu lepas dan semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata serbuan menerusi Ops Letrik itu dijalankan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama-sama pasukan SEAL TNB Cawangan Selatan.

Beliau berkata dalam operasi berkenaan, tiga lelaki berumur antara 26 hingga 46 tahun, terdiri daripada tiga lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perlombongan bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik milik TNB.

"Empat premis telah diserbu masing-masing dua di sekitar Iskandar Puteri, satu di Johor Bahru Utara dan satu di Kulai.

"Dalam serbuan tersebut, pihak polis merampas 71 mesin perlombongan mata wang kripto, dua komputer, dua komputer riba, lima router, enam mangga kunci pelbagai jenama, dua monitor, dua papan kekunci komputer, sebuah tetikus, tiga rangkai kunci, sebuah telefon bimbit dan dua kenderaan," katanya dalam sidang media di IPK Johor, di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata siasatan awal mendapati sindiket terbabit telah beroperasi selama kira-kira sebulan sebelum ditumpaskan hasil risikan dan perkongsian maklumat antara polis dengan pihak TNB.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai menggunakan kaedah sambungan terus atau tapping tanpa melalui meter elektrik yang sah daripada TNB bagi membolehkan aktiviti perlombongan bitcoin dijalankan tanpa membayar bil elektrik mengikut kadar tarif sebenar.

Ab Rahaman berkata hasil semakan TNB juga mendapati anggaran kerugian yang ditanggung syarikat utiliti itu akibat aktiviti perlombongan mata wang kripto di empat premis berkenaan adalah sebanyak RM67,502.30 bagi tempoh kira-kira sebulan.

Keempat-empat premis yang diserbu itu, katanya, ialah tiga rumah kediaman dan satu rumah kedai yang disewa dan dipercayai digunakan oleh sindiket untuk menjalankan kegiatan perlombongan Bitcoin secara haram.

Beliau berkata siasatan juga mendapati kadar sewaan bagi setiap premis ialah kira-kira RM5,000 hingga RM6,000 sebulan dan polis masih menyiasat pihak yang terlibat dalam urusan penyewaan premis berkenaan.

Beliau berkata seorang daripada suspek yang ditahan dipercayai bertindak sebagai pengurus bagi keempat-empat premis, manakala dua lelaki lain pula disyaki berperanan sebagai juruteknik luar yang dipercayai dari Selangor untuk mengurus pemasangan pendawaian dan mesin perlombongan bitcoin.

"Siasatan awal juga mendapati sindiket itu dipercayai mampu menjana keuntungan antara RM80,000 hingga RM100,000 dalam tempoh sebulan, manakala suspek yang ditahan dipercayai menerima upah anggaran RM5,000 sebulan.

"Ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari hingga 26 Julai ini bagi membantu siasatan dan polis sedang giat mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana mengganggu atau mengubah pepasangan elektrik, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, dalam tempoh Januari 2025 hingga Jun 2026, polis Kontinjen Johor telah menyerbu 16 premis yang dipercayai menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram, dengan merampas pelbagai peralatan termasuk 158 mesin perlombongan mata wang kripto.

"Anggaran kerugian yang ditanggung TNB akibat kegiatan berkenaan dalam tempoh tersebut adalah hampir RM1 juta," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement