MALAYSIA

Polis tumpaskan sindiket pelaburan kripto tidak wujud di Melaka

Bernama 05/02/2026 | 14:08 MYT
Lima lelaki berusia 17 hingga 33 tahun ditahan, terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga China.
MELAKA: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan kripto tidak wujud dalam talian hasil serbuan di dua premis di sebuah kondominium di Ayer Keroh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam operasi khas kira-kira 3.30 petang itu, sebanyak lima lelaki berusia 17 hingga 33 tahun ditahan terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga China.

"Premis itu dipercayai dijadikan pusat panggilan bagi menjalankan aktiviti penipuan pelaburan secara dalam talian dan semua suspek dipercayai berperanan sebagai khidmat pelanggan bagi sindiket tersebut.

"Siasatan awal juga mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Nov 2025 dengan menyasarkan warga Taiwan sebagai mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan itu termasuk komputer, telefon bimbit dan peralatan rangkaian dianggar berjumlah RM40,000.

Beliau berkata semua suspek direman bermula hari ini hingga 8 Feb dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, tiada kerugian dilaporkan namun kita ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa risiko.

"Orang awam juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penipuan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA

#pelaburan tidak wujud #kripto #Melaka #polis #PDRM #sindiket penipuan #scam