GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang masih menunggu tarikh inkues dari Mahkamah Koroner bagi menyiasat kes kematian wanita warga Australia, Anna Jenkins yang hilang di negeri itu, empat tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kertas siasatan kes berkenaan telahpun diserahkan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner pada 14 Oktober lepas dan masih menunggu maklum balas serta arahan selanjutnya daripada pihak berkaitan berhubung tarikh inkues bagi kes berkenaan.

"Kita sentiasa serius menjalankan siasatan kes ini dan tidak pernah menghentikan siasatan.

"Sepanjang penyiasatan, seramai 15 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan selepas penemuan sejumlah tulang di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung pada Jun lepas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pihak berkuasa Australia telah datang ke Pulau Pinang tahun lalu untuk mengikuti perkembangan kes berkenaan dan mereka berpuas hati dengan siasatan pihak polis.

Beliau berkata, sehingga kini Polis Pulau Pinang tidak menerima sebarang permohonan secara rasmi daripada Kedutaan Australia berkenaan kes tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya bersedia untuk membantu dan memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berhubung kes berkenaan.

Sebelum ini, beberapa portal media Australia melaporkan berhubung kenyataan ahli majlis perundangan Parlimen Australia, Frank Pangall yang menggerakkan usul untuk menggesa kerajaan Persekutuan Australia menyiasat dakwaan bahawa polis Malaysia mungkin telah menjalankan penyiasatan yang tidak betul terhadap kehilangan dan kematian, Anna Jenkins, 65.

Pada 13 Disember 2017, Anna Jenkins dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja memesan perkhidmatan Uber untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lanchang selepas selesai rawatan.

Bagaimanapun, suaminya membuat laporan polis selepas mendapati wanita itu masih tidak pulang dan hilang begitu sahaja.

Media Australia sebelum ini melaporkan dengan mendakwa bahawa polis negara ini menghentikan siasatan berhubung kes kehilangan wanita terbabit.

Dakwaan itu disangkal Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika itu yang memaklumkan polis tidak pernah menghentikan siasatan kes berkenaan dan sebarang petunjuk yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin bagi merungkai misteri kehilangan wanita berkenaan.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.