MALAYSIA

Polisi ekonomi Malaysia jelas, punyai kepercayaan tinggi negara serantau – PM Anwar

Firdaus Azil 02/09/2025 | 10:55 MYT
Perdana Menteri bercakap sempena Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-China, anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCBC), pada Selasa. - Foto Bernama
BEIJING: Malaysia mempunyai polisi ekonomi yang jelas, sama ada ia melibatkan strategi semikonduktor, peta jalan kecerdasan buatan (AI), ataupun pelan induk melibatkan pembangunan industri.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia mempunyai polisi ekonomi jelas termasuk strategi semikonduktor, peta jalan AI dan pelan induk industri, yang meningkatkan keyakinan pelabur serantau.
  • Malaysia memuktamadkan projek Grid Kuasa ASEAN (APG) dan berperanan sebagai hab tenaga serta semikonduktor serantau, selain menarik pelaburan bernilai tinggi dalam pusat data, AI dan telekomunikasi.
  • Anwar menekankan hubungan erat Malaysia-China, termasuk kerjasama baharu dalam ekonomi biru, nadir bumi dan semikonduktor, yang membuka peluang pelaburan, pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga merupakan antara negara yang mempunyai kepercayaan yang tinggi dari negara serantau, yang membolehkan negara mewujudkan infrastruktur kritikal yang merentasi sempadan.

“Kita bercakap tentang pemindahan tenaga yang luas, dan ketika ini Malaysia telah memuktamadkan Grid Kuasa ASEAN (APG) dari kabel bawah lautan Vietnam ke Utara Semenanjung, dan terus ke Singapura, dan dari Sarawak ke Sabah, Indonesia, dan Filipina.

“Jadi kami mempunyai kuasa grid tenaga ASEAN. Dan sudah tentu ini sebagai tenaga alternatif, pada saya, adalah kepercayaan yang tinggi terhadap polisi kami (Malaysia),” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan di hadapan kira-kira 120 pemain industri Malaysia dan China, sempena Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-China, anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCBC), pada Selasa.

Turut menyertai Perdana Menteri dalam dialog tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Dalam pada itu Anwar berkata, kehadiran beliau atas kapasiti tetamu Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025, Presiden Xi Jinping, biarpun Malaysia bukan negara anggota atau pemerhati, jelas menunjukkan tahap kepercayaan yang tinggi di antara dua negara.

Perdana Menteri berkata, selain kerjasama sedia ada, beliau dan pimpinan utama China termasuk Xi dan Perdana Menteri Li Qiang sudah pun mencapai kata sepakat untuk meneroka bidang kerjasama baharu.

Antaranya, kata Anwar lagi, kerjasama dalam mewujudkan kajian dan pendidikan yang menyentuh mengenai potensi ekonomi biru, nadir bumi, dan semikonduktor.

“Jadi saya merasakan kepercayaan dan hubungan … pada saya … adalah sesuatu yang menakjubkan. Sebab itu walaupun Malaysia belum lagi menjadi negara anggota SCO, saya telah dijemput secara peribadi sebagai tetamu Pengerusi (Presiden Xi).

“Ini jelas menunjukkan tahap kepercayaan di antara kedua-dua negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, China sebagai negara rakan, telah banyak membuka ruang dan peluang di Malaysia.

Tetapi Malaysia, jelasnya lagi, turut memainkan peranan penting sebagai hab komponen semikonduktor untuk elektrik dan elektronik, yang destinasi eksport utama bukan sahaja ke Amerika Syarikat, tetapi juga China.

“Dan pelaburan bernilai tinggi dari China – dari pusat data, AI, telekomunikasi, dengan ZTE dan Huawei sebagai contoh telah menjadikan Malaysia sebagai hab.

“Pertamanya sebagai hab tenaga di rantau ini (ASEAN). Kami telah pun menjadi hab semikonduktor serantau, dan banyak syarikat antarabangsa, termasuk dari China telah pun menjadikan Malaysia sebagai cawangan antarabangsa, ibu pejabat, termasuk melakukan operasi sama ada di Kuala Lumpur atau dalam Malaysia,” katanya lagi.

Dengan terus mengukuhkan hubungan yang telah pun sedia ada utuh, Perdana Menteri berkata, mempromosi pelaburan dan perdagangan adalah sesuatu yang kritikal, tetapi membawa pembangunan dan kemajuan untuk kedua-dua negara.

Selain itu Anwar berkata, ia juga menyediakan peluang untuk pemain industri baharu, peluang pekerjaan, termasuk peluang latihan serta pembangunan untuk semua tenaga kerja baik di peringkat profesional, pertengahan mahupun bawahan.





#Anwar Ibrahim #ASEAN #ekonomi malaysia #Beijing