KUALA LUMPUR: Satu polisi yang holistik perlu dilaksanakan bagi menjamin kehidupan mereka yang bakal atau sudah pencen meneruskan kehidupan di hari tua.

Skim-skim perlindungan sosial atau pencen yang sedia ada perlu ditambah baik bagi memastikan mereka yang pencen tidak berdepan masalah.

Bagi Pakar Ekonomi, Nungsari Ahmad Radhi, skim-skim pencen yang sedia ada akan berdepan masalah apabila mereka yang berumur semakin meningkat.

"Kalau kita tidak melakukan sesuatu sekarang, kita akan berdepan masalah tentang golongan mereka yang tua bagi sepuluh atau dua puluh tahun yang akan datang," katanya menerusi program Agenda AWANI.

Jelas beliau, kenyataan yang dibuat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tentang tahap simpanan mereka yang bakal berusia 60 tahun ke atas menunjukkan tahap yang membimbangkan.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Dr Nungsaru berpendapat, tahap pendapatan secara menyeluruh yang rendah menjadi masalah utama untuk mereka yang sudah pencen untuk hidup dalam keadaan yang selesa.

Katanya, kerajaan perlu meningkatkan tahap pendapatan menengah agar pekerja tidak mempunyai masalah kewangan bila sudah pencen.

"Kita punya masalah yang sepatutnya kita tekankan ialah tingkatkan pendapatan menengah yang lebih tinggi dan jenis kegiatan ekonomi itu memberi lebih pulangan kepada buruh berbanding modal, itu kita punya masalah asas.

"Kalau kita tengok di Jepun, oleh kerana pendapatan tinggi, mereka yang tua masih boleh hidup dengan selesa.

"Masalah yang lebih runcing di Malaysia selain semakin ramai orang tua ialah tahap pendapatan secara umum adalah rendah, dan itu kita perlu perbaiki kalau tidak kita buat macam mana pun, KWSP atau LTAT tidak boleh memperbaiki keadaan itu," katanya lagi.

Dr Nungsari berharap kerajaan melihat perkara itu dengan serius dan mengambil langkah yang proaktif untuk mengatasi masalah tersebut.

Isu masayarakt menua merupakan satu perkara yang telah kerap kali dibincangkan sebelum ini dan ramai yang berharap ada usaha dilakukan untuk menjamin masa depan golongan yang bakal pencen.

Tahap pendapatan perlu ditingkatkan - Pakar Ekonomi