KUALA LUMPUR: Kaedah mengarus perdana dan mempopularkan kejayaan daya cipta merupakan cara terbaik untuk menyuburkan budaya inovasi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata lebih banyak kejayaan yang boleh dibanggakan dan para pencipta menempa nama, lebih ramai yang akan tertarik dengan inovasi.

“Kita perlu arus perdanakan inovasi dan menginspirasikan dengan sesuatu inovasi itu menjadi kebanggaan kerana orang boleh nampak kejayaannya dan boleh mencipta nama.

“Itulah yang akan membuktikan negara dan masyarakat kita berkemampuan. Itulah cara yang terbaik untuk menarik lebih ramai orang terlibat. INNOVATHON hanyalah alat dan kaedah yang kerajaan perlu ambil.

“Diharapkan orang lain pun sambut untuk kita pastikan lebih banyak cubaan-cubaan (inovasi) ini, kerana dengan cubaan ini akan buka peluang untuk lebih banyak ciptaan dikomersialkan dan kesan kepada masyarakat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Jelasnya, program INNOVATHON yang dilaksanakan hanyalah satu alat dan kaedah yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mencetuskan minat tersebut.

Rafizi berkata kejayaan untuk menyuburkan budaya inovasi ini akhirnya bergantung kepada jumlah inovasi terhasil yang mampu mengubah hidup rakyat dan dikomersialkan.

Menteri Sains, Teknlogi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang turut hadir dalam temu bual sama menyambut lontaran Menteri Ekonomi dengan menyatakan keperluan untuk memastikan lebih banyak proses bertindih dan kerenah birokrasi perlu dikaji semula agar pengkomersialan produk inovasi dapat dipercepat.

“Kalau ikut cara lama akan ambil masa yang lebih lama. Kita perlu tengok cara untuk bantu mengkomersialkan produk yang dihasilkan dalam tempoh masa yang lebih pendek.Semua proses-proses bertindih dan birokrasi perlu potong,” katanya.

Dalam pada itu, Juara INNOVATHON dan pencipta peranti sensor DNA bagi mengesan virus dan kanser, NACOTS, Prof Dr Anis Nurashikin Nordin menghargai perhatian yang diterima susulan kejayaan yang diraih dalam program realiti INNOVATHON, meskipun mengakui sukar membiasakan diri dengan populariti yang diraih.

“Bagus ada perhatian yang banyak kepada inovasi dan penyelidik yang akan memangkin orang ramai untuk berinovasi. Tetapi kami sebagai penyelidik tidak biasa dengan televisyen dan dunia glamor.

“Pun begitu, dari segi inovasi ini kami suka kerana kami berharap lebih bayak peranti-peranti yang boleh dikomersialkan.

"Memang sukar untuk kami masuk ke pasaran komersial. Oleh itu, lebih baik sekiranya ada bantuan industri,” katanya.

BACA: NACOTS, peranti pengesan virus & kanser, juara INNOVATHON musim pertama

Peranti sensor DNA bagi mengesan virus dan kanser, NACOTS, dinobat sebagai pemenang rancangan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi, INNOVATHON musim pertama.

Inovasi yang diketuai oleh Prof Madya Dr Zainiharyati Mohd Zain, pensyarah kimia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dipilih daripada kalangan lapan finalis untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai hingga RM1 juta.