[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Porsche selebriti antara 101 kenderaan mewah disita JPJ dalam Op Luxury

Bernama 24/06/2025 | 12:02 MYT
Kesalahan dikesan antaranya tiada LKM dan insurans sah, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah, dan penggunaan nombor pendaftaran palsu. - Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Sebanyak 101 kenderaan mewah termasuk sebuah Porsche yang dikaitkan dengan seorang selebriti tanah air disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang pelaksanaan Op Luxury di seluruh negara bermula 1 Jun lepas hingga hari ini.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kenderaan lain yang disita ialah Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, BMW 530e, Mercedes-Benz, Toyota Alphard dan Lotus Elise S yang didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan berkaitan.
"Kesalahan dikesan antaranya tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans sah, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah, penggunaan nombor pendaftaran palsu, nombor casis tidak padan dengan sistem dan penggunaan 'trade plate' palsu.
"Kesemua kenderaan terbabit ditahan di depoh simpanan JPJ untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media operasi terbabit di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan Op Luxury secara bersepadu itu bertujuan mengekang sikap sambil lewa segelintir pemilik kenderaan mewah terhadap peraturan jalan raya.
"Pemilikan kenderaan mewah bukan lesen untuk mengabaikan undang-undang. Undang-undang negara terpakai kepada semua tanpa mengira status atau jenama kenderaan.
"Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi keperluan asas seperti dokumen kenderaan dan lesen memandu sah," katanya.
Beliau turut menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat berhubung sebarang pelanggaran undang-undang trafik melalui aplikasi MyJPJ e-Aduan atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my dengan butiran lengkap bagi tujuan siasatan.
"JPJ akan terus melaksanakan Ops Luxury secara berkala bagi memastikan hanya kenderaan yang sah, selamat dan berdaftar dibenarkan berada di atas jalan raya. Hal ini penting demi keselamatan pengguna serta integriti sistem pengangkutan negara," katanya.
Berhubung pengauditan JPJ terhadap 500 syarikat pengendali kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan perdagangan barangan yang berisiko tinggi, Aedy Fadly berkata setakat semalam sebanyak 50 syarikat telah diaudit namun keputusannya belum diperoleh.
"Saya bagi tempoh selama sebulan kepada pasukan saya untuk selesaikan proses pengauditan 500 syarikat terbabit. Jangka masa yang diambil untuk mengaudit setiap satu syarikat bergantung kepada berapa banyak dokumentasi diterima," katanya.
Pengauditan itu dibuat susulan nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lepas selain beberapa kemalangan membabitkan kenderaan berat yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
-- BERNAMA
#Kenderaan Mewah #sita #JPJ #op luxury #selebriti