Penempatan Orang Asli Pos Kemar dekat sini disahkan bebas wabak malaria, demikian menurut Pemangku Pengarah Kesihatan negeri Perak Datuk Dr Rahimi Goon.

Beliau berkata kes terakhir positif wabak itu dikesan pada 21 Dis lepas dan kini hanya seorang pesakit yang masih menerima rawatan iaitu di Hospital Gerik.

"Pesakit itu telah sihat, tiada komplikasi namun masih perlu menjalani rawatan untuk tempoh 14 hari lagi," katanya ketika ditemui selepas menyertai lawatan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Datuk Saarani Mohamad di sini pada Isnin.

BACA: 137 penduduk Pos Kemar positif malaria - KP Kesihatan

BACA:
Hanya diberi ubat demam selepas 3 kali ke klinik, kini kami positif malaria - Tok Batin

Malaria daripada spesies Plasmodium vivax (P.vivax) mula dikesan di Pos Kemar pada 16 Nov lalu melibatkan tiga orang penduduk Kampung Senangit.

Menjelas lanjut, Dr Rahimi berkata sejak kes dikesan, sebanyak 137 orang telah dimasukkan ke Hospital Gerik dan Hospital Kuala Kangsar kerana positif malaria daripada keseluruhan 4,189 penduduk Pos Kemar yang diperiksa.

Dr Rahimi berkata pihaknya telah menjalankan saringan malaria termasuk mengambil sampel darah di sembilan buah kampung di penempatan Pos Kemar untuk memastikan wabak tersebut tidak berulang.

"Pengambilan sampel itu berakhir pada dua hari lepas telah dihantar ke makmal untuk ujian dan keputusannya masih belum diperoleh," katanya.

Ketika diminta mengulas laporan sebuah stesen televisyen berbayar yang menyatakan pihak Jabatan Kesihatan Perak tidak melakukan sebarang tindakan, Dr Rahimi berkata kenyataan tersebut tidak tepat.

"Banyak yang telah dilakukan termasuk tindakan kawalan seperti kawalan pembiakan larva, penyemburan racun dari rumah ke rumah sehingga malaria berjaya dikawal dalam masa sebulan lebih," katanya.

Sementara itu, Saarani yang bertanggungjawab terhadap masyarakat Orang Asli di Perak memuji kecekapan Jabatan Kesihatan kerana berjaya mengekang malaria di Pos Kemar daripada merebak ke penempatan lain, termasuk di Pos Banun dan Pos Dala, kedua-duanya terletak di sini.

Katanya semua penduduk Pos Kemar yang terjejas malaria juga diberi satu bantuan makanan dikenali sebagai 'kotak makanan' setiap seorang berbanding satu kotak bagi setiap keluarga sebelum ini.

Pada lawatannya hari ini, Saarani menyampaikan 140 kotak makanan kepada penduduk Kampung Senangit.

-- BERNAMA