Pos Malaysia keluar setem khas kenang Prof Khoo, Ungku Aziz, Rashdan Baba

Faida Rahim
Disember 29, 2022 09:06 MYT
Pos Malaysia telah mengeluarkan koleksi setem istimewa supaya legasi tokoh terbabit tidak dilupakan - Gambar/ Facebook Pos Malaysia Berhad
KUALA LUMPUR: Pos Malaysia memperkenalkan setem khas bagi mengenang sumbangan tokoh cendekiawan Malaysia iaitu mendiang Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim serta Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz dan Profesor Emeritus Tan Sri Mohd Rashdan Baba.
Menerusi laman sosial Pos Malaysia, mereka memaklumkan penjualan setem ini bagi menghargai sumbangan besar tiga tokoh intelektual terbabit di negara ini.
“Sungguhpun mereka telah tiada, legasi mereka menjadi penyuluh kepada pembangunan negara dan minda masyarakat kita sehingga kini.
“Sebagai memperingati tokoh-tokoh cendekiawan hebat ini, Pos Malaysia telah mengeluarkan koleksi setem istimewa supaya legasi mereka ini tidak akan dilupakan,” tulis Pos Malaysia.
Memetik New Straits Times, balu Khoo yang masih hidup Puan Sri Rathi Khoo berkongsi keluarganya gembira dan berterima kasih dengan penghargaan diberikan.
"Cinta dan kesetiaan beliau kepada negara tidak boleh dipertikaikan dan beliau telah diberi ganjaran atas usahanya.
"Keluarga amat berbesar hati dan kami berterima kasih kepada kerajaan kerana menghargai sumbangan beliau bersama tokoh lain," katanya.
Mengulas lanjut, katanya: “Ungku dan Rasdan Baba adalah ikon dalam bidang akademik dan untuk mengenang Prof adalah hal yang hebat.
"Ungku ada bersama Prof sepanjang bekerja di Universiti Malaya dan Prof sentiasa menghormatinya.
"Kini, kebersamaan mereka dalam setem amat dihargai oleh pihak keluarga kami,” katanya.
Setem tersebut boleh dibeli di laman sesawang pos.com.my atau di semua pejabat pos utama dan pejabat pos cawangan di seluruh negara dengan harga RM61.10.
#Khoo Kay Kim #pos malaysia #Ungku Aziz #setem khas